About Me

My photo
Gombak, Malaysia
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali." (Hud 11:88)

Wednesday, January 28, 2009

Ketika Merasa Amal Telah Banyak


Topik ini, saya terfikir semasa dalam perjalanan pulang daripada sebuah program di Hulu Langat beberapa hari yang lalu. Program tersebut telah diadakan selama 3 hari 2 malam, dan dihadiri oleh pelajar sekolah rendah hingga lepasan SPM.

“Abang pernah terfikir tak apa tujuan hidup kita? Saya rasa hidup saya ni dah tiada tujuan lagi.”

“Cakap saja apa jenis arak semuanya saya dah pernah minum!”


Dalam salah satu aktiviti yang diadakan saya berpeluang berbual dengan seorang peserta. Dia meluahkan beberapa penyataan yang menyentuh hati saya. Dia mengadu tidak dapat bersolat dan membaca Al Quran, malah ketika diminta untuk bersyahadah dia menjadi kelu. Hati umat Islam mana yang tidak menjadi sebak menyaksikan kejadian sebegini?

Jika anda seorang yang terlibat dalam mana-mana gerakan dakwah, berbahagialah kerana anda telah terpilih untuk berada dalam rombongan besar para Nabi dan Rasul. Rombongan orang-orang yang terpilih untuk untuk diiktiraf sebagai golongan yang perkataannya terbaik di alam semesta ini.

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" (Fussilat 41:33)

Tugas manusia yang kedua, yakni selepas beribadah kepada Allah (Adz Dzariyaat 51:56) adalah menjadi khalifah (Al Baqarah 2:30) di muka bumi ini. Perlulah difahami bahawa khalifah ini berperanan memastikan kehidupan manusia di muka bumi ini mematuhi kehendak Allah SWT dan melaksanakan peranan ‘ubudiyyah (pengabdian) kepada-Nya.

Dan jika ada di antara manusia yang tidak melaksanakan pengabdian kepada Allah, maka manusia lain sebagai khalifah hendaklah mengingatkan mereka akan tujuan utama mereka diciptakan dengan cara berdakwah!

Ramai orang, banyak pula cara dan pendekatan mereka berdakwah. Saya bersetuju dengan sebarang pendekatan, kerana yang paling penting adalah selari dengan Al Quran dan As Sunnah. Tiada masa untuk kita ‘claim’ kumpulan kami adalah yang paling benar dan asli, kerana umat manusia ini ramai sehingga tidak mungkin sesebuah kumpulan dapat menangani kesemuanya!

Da’I Selebriti vs Da’I Tak Ternama

Dalam menyeru manusia kembali kepada Allah, ada pendakwah yang mendapat gelaran selebriti dan terkenal di kaca televisyen dan radio. Setiap ceramah mereka dihadiri ribuan pendengar dan rancangan mereka ditonton jutaan manusia. Tahniah diucapkan kepada mereka kerana berjaya memikat hati ramai golongan manusia untuk kembali kepada Islam. Semoga Allah memberkahi usaha mereka.

Namun, usaha ini perlulah diteruskan dengan ‘personal touch’ bagi memastikan umat manusia terus istiqamah dalam melaksanakan Islam di dalam kehidupan mereka. Maka, di sini lahirlah ramai pendakwah yang tidak ternama di muka bumi ini.

Mereka boleh jadi seorang remaja, pelajar sekolah menengah dan IPT, atau sudah bekerja di pelbagai sektor. Mereka berdakwah, tanpa mengumumkan secara meluas bahawa mereka adalah pendakwah. Mereka membina dan mentarbiyah muda-mudi agar kembali kepada ajaran Islam yang benar dan menyediakan batu-bata kepada bangunan Islam yang akan didirikan kelak.

Saya diizinkan bertemu dengan ramai daripada golongan ini. Mereka adalah da’I-da’I ‘rider’ yang ke sana sini dengan motor ‘kapchai’ untuk mengisi dan membina pemuda-pemudi Islam di tempatnya. Malah, ada yang menjangkau luar kawasan, apabila mereka ditugas mengasaskan embrio dakwah di sesuatu tempat yang belum wujudnya dakwah.

Mereka juga da’iyah-da’iyah (pendakwah perempuan) yang bersesak-sesak dalam LRT dan komuter dan menempuh perjalanan jauh untuk tujuan yang sama. Juga di antara mereka yang berkereta, seringkali dilihat kenderaan tesebut sentiasa penuh dengan para duat yang meminjamnya untuk ke sana ke mari.

Al Quran banyak bercerita tentang orang-orang yang hebat tanpa nama. Mereka diangkat oleh Allah untuk diabdikan kisah mereka bagi dijadikan panduan untuk kita semua.

Di antara mereka adalah 2 orang pengikut Nabi Musa AS yang rela mengikut baginda memasuki Baitul Maqdis setelah Bani Israel yang lain enggan (Al Maidah 5:23). Juga kisah seorang pemilik kebun yang soleh dan menasihati sahabatnya yang kufur yang kemudian dimusnahkan kebunnya (Al Kahfi 18:32-38).

Ada pula kisah seorang lelaki dari hujung kota yang memperingatkan Nabi Musa tentang perancangan pembesar negeri untuk membunuh baginda dan menasihatinya keluar (Al Qasas 28:20). Juga di hadapan Firuan, ada orang soleh yang telah lama memendam imannya. Pada waktu yang telah dia tetapkan, dia muncul dan menyuarakan imannya serta menyedarkan Firaun dan para pengawalnya dengan bahasa keimanan yang penuh wibawa (Al Mukmin 40:30-33).


Kesimpulannya: BerAMALlah!

Saya akhiri tulisan ini dengan tidak mengatakan bahawa salah satu golongan pendakwah di atas lebih baik daripada yang lainnya. Tapi, saya mengatakan yang terbaik adalah semua orang yang berdakwah dan beramal! Merekalah golongan yang kelak dikhabarkan berita gembira setiap perkerjaan mereka oleh Allah SWT di akhirat. Pokoknya, BEKERJA dan BERAMAL!

Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan". (At Taubah 9:105)

Wallahua’lam.

BaytulFareed

3 comments:

Anonymous said...

bravo..artikel yang bagus..asas dari pengalaman direct pada masyarakat..teruskan akh!

zahidzuhri said...

best siot...mendalam....untuk; jadi teladan bersama...
Satu persoalan, camner dengan amal yang muntijah? juz curious...Ustaz Ahmad Ar Rasyid bagitau dalam buku al-Muntalaq,"mungkin kita terpersona dengan amal2 orang yang ikhlas..." maksudnya ramai jer orang ikhlas berjuang,tapi tak kena cara...hmmm...

Azraai Ahmad said...

Memang jika dibincangkan yg mana lebih muntijah, nescaya jwpnnya yg KENA caranya! tp, adakah kita hendak menafikan amal2 org yg ikhlas? :D

Related Posts with Thumbnails