About Me

My photo
Gombak, Malaysia
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali." (Hud 11:88)

Monday, June 29, 2009

Jom Heboh! (Edisi Special Ramadhan)




Ku mengharap kan Ramadhan kali ini penuh makna, Agar dapat ku lalui dengan sempurna...

Hari ini baru 6 Rejab. Kenapa pulak nak cerita tentang Ramadhan? Bulan Sya'ban pun belum tiba lagi. Rilex la dulu...kita enjoy puas-puas sebelum tibanya bulan penuh kesengsaraan dan penyeksaan tu. Tak boleh makan, minum, malah nak 'usha' perempuan pun tak boleh...

Teladan Generasi Rabbani

Berbeza dengan kita, Rasulullah SAW dan para Sahabat RA sebenarnya sangat-sangat menanti kedatangan Ramadhan. Hinggakan 2 bulan sebelum itupun yakni Rejab dan Sya'ban mereka meminta-minta kepada Allah SWT untuk menemukan mereka dengan Ramadhan. Baginda mengajarkan kepada kita supaya berdoa seperti berikut;

"Allahumma baariklanaa fii rajab wa sya'ban, wa balighna ramadhaan!"

"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan temukanlah kami dengan Ramadhan."

Soalan: Mengapa Rasulullah dan para Sahabat begitu beria-ia menunggu datangnya Ramadhan, sedangkan jika ditanya, rata-rata Umat Islam hari ini mungkin tidak tahu pun bahawa mereka telahpun begitu hampir dengan Ramadhan?

Saya masih teringat sewaktu Murabbi saya 'The Second' mengajak kami membuat 'operasi' di Cameron Highland beberapa tahun lepas tahun lepas. Ketika itu, kami mengedarkan 'bookmark' Ramadhan kepada masyarakat di Ringlet. Sambil bertanya khabar dan beramah mesra, kami bertanyakan juga apakah persiapan mereka menyambut Ramadhan tahun tersebut.

Rata-rata yang ditemui agak 'pelik' dengan soalan kami kerana bagi mereka terlalu 'awal' untuk bercerita tentang Ramadhan ketika itu. (operasi itu diadakan di awal sya'ban, lebih kurang sebulan lagi Ramadhan). Bagi mereka, sekarang BARU awal bulan sya'ban...

Ha, saya rasa begitulah umumnya pandangan masyarakat terhadap bulan yang mulia ini. Jika pesta-pesta atau karnival besar, dua tiga bulan sebelum tu dah HEBOH dengan poster, fliers, iklan di TV dan Radio. Tapi, kenapa PESTA IBADAH RAMADHAN ini dibiarkan sunyi sepi???

Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengHEBOHkan promosi-promosi hebat dan MEGASALES ini kepada mereka.

Persiapan-persiapan

Bagi memastikan kita semua mampu menghadapi Ramadhan yang akan datang ini dengan penuh makna, sudah sepatutnyalah kita membuat persiapan-persiapan yang sewajarnya. Secara ringkasnya terdapat 6 persiapan penting;

1. I'dad Maknawiy (Persiapan Spiritual)

Di bulan Rejab dan Sya'ban, kita telah mempersiapkan rohani supaya bersedia dan merindukan Ramadhan. Baca kembali fadhilat-fadhilat yang telah dijanjikan Allah kepada kita. Tulis dan tampalkan hadith-hadith yang memberi motivasi dan membangkitkan semangat. Dan, tidak lupa berdoa sepertimana telah diajarkan Rasulullah SAW.

2. I'dad Fikriy (Persiapan Intelektual)

Ulangkaji kembali ilmu-ilmu tentang ibadah Puasa (Fiqh Siyam). Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa? Makruh puasa? Sunat Puasa? dll...

3. I'dad Kitabiy (Persiapan Bertulis)

Sepertimana perayaan-perayaan lain yang disambut di negara kita, sepatutnya lebih-lebih lagilah bagi bulan Ramadhan. Bagi yang mempunyai ruang, buatlah banner-banner, kain rentang, poster-poster untuk dihebahkan kepada orang ramai akan kedatangan Ramadhan. Penuhi jalan-jalan raya, kedai-kedai, kolej, universiti dll dengan kedatangan Ramadha.. (wow, cuba bayangkan!)

4. I'dad Maaliy (Persiapan Harta Benda)

Kita maklum bahawa di bulan Ramadhan pahala sedekah dan infaq kita berganda-ganda. Oleh itu, awal-awal lagi kita perlu berjimat-jimat sebelumnya. Dalam masa yang sama kita dapat berlatih menjauhi sikap boros dan membazir. Wang yang dijimatkan bolehlah kita belanjakan untuk tujuan dakwah, dan membantu umat Islam di Palestin, misalnya...(FAST2FUND!)

5. I'dad Jasadiy (Persiapan Fizikal)

Jom, pergi gym! Kawan-kawan, berpuasa memerlukan kekuatan fizikal dan tenaga untuk melaksanakannya. Kalau tidak 'fit', mesti ramai yang tertidur dalam kelas atau di tempat kerja. Jadi, biasakan puasa sunat Isnin dan Khamis, bersenam, dan mengamalkan hidup sihat supaya tatkala Ramadhan tiba, tiada lagi alasan UZUR...

6. I'dad Amaliy (Persiapan Amalan)

Sangat penting agar tidak berlaku 'shock' yang keterlaluan. Puasa Sunat di bulan-bulan Rejab dan Sya'ban akan membiasakan kita dengan suasana di bulan Ramadhan. Kita juga boleh mula perbanyakkan bacaan Al Quran (agar tidak tergagap-gagap di bulan Ramadhan), solat sunat (tidak terketar-ketar waktu solat Tarawikh) dan ibadah-ibadah yang lainnya...

Macamana? Boleh HEBOHkan Ramadhan tahun ini? Inyaallah, sama-samalah kita...ye!

Wallahu a'lam.

p/s:- Repost daripada blog lama, Mencari Makna Kehidupan Abadi setelah diedit untuk disesuaikan untuk Ramadhan kali ini...

Baytul Fareed

Tuesday, June 23, 2009

Rahsia Kehebatan Mesir dalam Piala Konfederasi?

Piala Konfederasi 2009 di Afrika Selatan yang sedang berlangsung sekarang ini menyaksikan kebangkitan Pasukan Mesir dalam arena bola sepak antarabangsa.

Pasukan yang memenangi Piala Afrika pada tahun 2006 itu telah mengejutkan Juara Dunia 2006, Itali dengan kemenangan (1-0), Jumaat lepas.

Dalam perlawanan sebelumnya menentang Brazil, Mesir berjaya mengimbangi permainan Pasukan Samba itu dengan kekalahan tipis (3-4). Itupun di atas kesilapan pertahanannya yang menahan bola dengan tangan, lalu menganugerahkan Itali penalti.

Walaupun Mesir tidak layak ke peringkat seterusnya setelah kalah dengan Amerika Syarikat (0-3) kelmarin, namun, penampilan dan persembahan mantap mereka pada Kejohanan Piala konfederasi kali amat 'menerujakan' masyarakat dunia (khususnya umat ISLAM).

Lalu...Apa RAHSIA Mereka???

Kita lihat gambar-gambar di bawah ini...


Mesyukuri gol pertama dan ketiga oleh Mohamed Zidan ketika melawan Brazil.


Gol kemenangan oleh Mohamed Homos ketika melawan Itali.


Essam El Hadary bersyukur kepada Allah tatkala Mesir menang ke atas Itali. Beliau menyelamatkan 2 percubaan berbahaya penyerang Itali ketika keadaan (satu lawan satu) yang mencemaskan.



Dan... mungkin inilah Murabbi mereka yang dilihat seolah-olah menegaskan kemenangan mereka itu kurnia daripada Allah SWT apabila beliau mengangkat sebuah mushaf Al Quran selapas kemenangan ke atas Itali.

Bukan Fenomena BARU!

Kebangkitan pengaruh Islam di dalam bola sepak Mesir bukanlah fenomena baru. Malah, selepas memenangi Piala Afrika pada tahun 2006, para pemain bersama lebih 8000 penonton menunjukkan soladariti mereka kepada Rasulullah SAW dengan membantah karikatur baginda.


Mohamed Aboutrika, pemain nombor 22 Mesir merupakan bintang hebat yang secara terang-terangan menyatakan bantahannya apabila memakai baju yang bertulis "Kami Rela Mati untuk Rasulullah"! Malah beliau juga berbuat demikian semasa pencerobohan Israel terhadap Gaza.

Ketika ditemubual, beliau menyatakan hadith tentang kewajipan mengambil tahu hal ehwal umat Islam yang lain beserta ancaman tidak mengendahkan mereka.

Dalam kempen Piala Konfederasi kali ini, 2 daripada gol-gol yang dijaringkan Mesir berpunca daripada umpanan beliau.

Subhanallah...

Kita mengharapkan agar dapat menyaksikan fenomena-fenomena ini di negara kita pula...Insyaallah!

BaytulFareed

Saturday, June 20, 2009

Edisi Konpius: Ilmiah atau Menyentuh HATI?

Saya mengalami krisis dalam penulisan sejak akhir-akhir ini. Krisisnya adalah samada untuk lebih ILMIAH, atau MENYENTUH HATI dalam penulisan..?

Saya percaya, setiap orang ada cara dan gaya penulisan tersendiri:

Ada orang yang menulis blog dengan ayat-ayat yang santai dan bersahaja tetapi penuh dengan cerita, idea serta isi yang menarik.

Ada juga orang yang menggunakan pendekatan yang akademik dan ilmiah dalam setiap penulisannya. Setiap rujukan dicatatkan dan amanah dalam menukilkan maklumat menjadikan artikelnya lebih di'percayai' dan sahih.

Juga ada yang menekankan agar penulisan itu lebih insani dan kena dengan jiwa manusiawi lalu mengetuk hati pembaca walaupun tidaklah terlalu ilmiah artikelnya.

Jadi, gaya tulisan yang bagaimana agaknya perlu saya gunakan dalam blog ni???

Kembara Mencari Identiti

Saya memulakan penulisan blog dengan gaya yang agak ilmiah. Dengan tajuk-tajuk yang agak 'skema' dan isi-isi yang agak berat serta memerlukan pengkajian yang agak mendalam tentang setiap topik. Antaranya isu-isu Palestin, Zionis dan Konspirasi Makanan.

Kemudian, saya cuba pula gaya yang lebih santai dan berkisarkan pengalaman hidup sendiri. Dalam masa yang sama memasukkan elemen-elemen insani dan kejiwaan. Lalu saya mendapati bahawa gaya ini lebih memberi ketenangan dan kepuasan jiwa...

Saya juga mula cuba menulis puisi yang entah jadi ke tidak melalui entri Aku Menulis Hanya Kerna NAMA.

Antara Kepuasan INTELEK dan Ketenangan JIWA


Kita biasa hadir di kuliah Fiqh yang kaya dengan perbincangan hukum, khilaf ulama', dan sahih/dhaifnya sesuatu sumber. Kita berasa lebih benar dalam beribadah dan menyedari keluasan dan kesyumulan Islam di dalamnya.

Di pihak yang lain, wujudnya kuliah Tazkiyatun Nafs yang memuhasabah serta membersihkan hati, jiwa dan nurani kita. Kita jadi rasa lebih khusyuk dalam beribadah dan sentiasa membersihkan niat, melawan nafsu dan berakhlak.

Sukar kita berjumpa dengan penulis yang dapat memadukan kedua-dua elemen manusiawi ini.

Misi Rasulullah SAW: Ilmiah atau Tazkiyah?

Firman Allah SWT;

"Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As Sunah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (Al Jum'ah 62:2)



Manusia terdiri daripada 3 unsur iaitu Jasad, Akal dan Hati. Tarbiyah Rasulullah SAW berjaya menghasilkan sahabat-sahabat yang MANTAP kerana meliputi ketiga-tiga unsur ini.

Tetapi, dalam entri ini kita hanya membincangkan Akal dan Hati. Akal manusia dipuaskan dengan Maklumat (infomasi) manakala Hati dipuaskan dengan Dzauq (Rasa).

Jika difikirkan, memang kita perlu komprehensif dalam penulisan. Iaitu dalam erti kata memasukkan unsur-unsur yang boleh memuaskan kedua-dua elemen manusiawi ini. Namun, dalam satu-satu masa kita merasakan agak sukar untuk menyeimbangkan kedua-dua elemen ini.

Contohnya, bukan mudah menulis entri yang bertemakan teknikal atau fakta dengan nada tazkiyah. Kemudian, bukan mudah menulis topik tazkiyah atau muhasabah dengan pendekatan yang intelektual dan teknikal.

Kesimpulannya;

Saya sedar kepentingan mengintegrasikan kedua-dua ilmiah dan tazkiyah. Dan insyaallah akan sekerap mungkin mengamalkannya. Namun, semuanya mengharapkan hidayah dan izin daripada-Nya.

Bak kata seorang Akh, hatta untuk mengucapkan 'Subhanallah' pun mengkehendakkan hidayah Allah SWT. Apatah lagi untuk menulis sebuah artikel...

Doakan kita semua dapat petunjuk daripadanya. Wallahu a'lam!

BaytulFareed

Tuesday, June 16, 2009

Kata-kata Orang Femes!

Untuk entri kali ni, saya coretkan kembali kata-kata orang yang terkenal. Mungkin ada hikmah-hikmah yang boleh kita dapatkan...

"Hikmah itu barang berharga orang Mukmin yang hilang, di mana sahaja dia menemuinya maka dialah yang lebih berhak terhadapnya." (HR At Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Jadi, mari kita sama-sama renungkan...

Character is like a tree and reputation like a shadow. The shadow is what we think of it; the tree is the real thing.
Abraham Lincoln

Anyone who has never made a mistake has never tried anything new.
Albert Einstein

Happiness is activity.
Aristotle

Do not pray for easy lives. Pray to be stronger men.
John F. Kennedy

They cannot take away our self-respect if we do not give it to them.
Mahatma Gandhi

A man who views the world the same at fifty as he did at twenty has wasted thirty years of his life.
Muhammad Ali

Some people want it to happen, some wish it would happen, others make it happen.
Micheal Jordan

To do a great right do a little wrong.
William Shakespreare

p/s:- Kebenaran itu hanya daripada Allah SWT! Wallahu a'lam....

BaytulFareed

Saturday, June 13, 2009

Syekh Fathi Yakan : Kembalinya Sang Murabbi Ummat Ini

Nama Fathi Yakan mungkin bukan nama yang asing bagi kita semua. Saya kenal nama beliau sewaktu di SMKAB melalui buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam." Buku tu telah digunakan dalam kuliah Subuh oleh Ustaz Yahya (PK HEM SMKAB) dan saya merupakan antara ahli jemaah subuh yang terangguk-angguk kerana terlalu 'faham' setiap kali kuliah beliau...

Seiring masa berlalu, makin banyak buku-buku beliau yang saya jumpa dan baca. Di antara buku terawal karya Fathi Yakan yang saya baca adalah "Bahtera Penyelamat". Waktu tu kat matrik PJ, dan alhamdulillah banyak manfaat serta bekalan yang banyak membantu saya dalam mengharungi hidup ini...

Kembalinya Sang Murabbi Ummat ke Rahmatullah

Malam tadi, Ustaz Fathi Yakan telah dipanggil menghadap Allah SWT buat selama-lamanya. Beliau meninggal dalam usia 76 tahun setelah bergelut dengan sakit yang menjadi asbab kepergiannya. Seluruh ummat seharusnya merasakan kehilangan seorang Guru dan Pembina Ummat yang banyak menyumbang kepada kebangkitan Islam seluruh dunia hari ini.

Riwayat Hidup

Ustaz Fathi Yakan telah dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Lubnan. Telah berjaya memperolehi Phd di dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. Beliau berkahwin dengan Puan Dr Mona Haddad Yakan dan telah dikurniakan 5 orang cahaya mata ( 4 perempuan dan 1 lelaki).

Beliau merupakan diantarakan tokoh gerakan Islam di Lubnan dan di dunia Islam bahkan beliau merupakan diantara pelopor yang mengasaskan gerakan Islam di Lubnan bersama-sama dengan lebih kurang 50 orang saudaranya yang lain sejurus selepas mereka menziarahi Dr. Mustafa As-Siba'ie Rahimahullahu di Syria.


Beliau pernah menjadi Ahi Parlimen Lubnan pada tahun 1992 dan aktif di dalam "Islamic Action Front".

Sumbangan Beliau

Beliau telah menyumbang tenaga di dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dalam dunia Arab dan beliau juga telah menyebarkan risalah-risalah dan tulisan-tulisan yang berbentuk ideologi ke dunia Arab dan Islam sebagai panduan generasi-generasi kebangkitan Islam dan kebanyakan daripada tulisan-tulisan beliau telah diterjemahkan di dalam banyak bahasa.

Antara karya-karya beliau (terjamahan dalam Bahasa Melayu) adalah:-

1. Apa Ertinya Saya Menganut Islam
2. Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Pendakwah
3. Isti'ab
4. AIDS Haraki
5. Yang Berjatuhan di Jalan Dakwah
6. ABC Gerakan Islam
7. Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam

Mutiara-mutiara Sang Murabbi

"Penggabungan diri dengan agama Islam bukanlah secara warisan, bukan secara hobi malah ia juga bukan penggabungan secara zahir sahaja. Sebenarnya penggabungan yang dimaksudkan ialah penggabungan dengan ajaran Islam itu sendiri dengan cara berpegang teguh dengan seluruh ajaran Islam serta menyesuaikan diri dengan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh kerelaan."
(Apa Ertinya Saya Menganut Islam)

"Dalam meniti liku dan lurah-lurah perjalanan ini kalaulah seorang Da’i tidak berada di bawah lindungan Allah SWT, tidak berhubung terus dengan-Nya, tidak bertawakkal kepada-Nya, tidak berpegang kepada Kitab-Nya dan tidak pula mengikuti Sunnah Nabi-Nya maka sebenarnya ia sedang berada di ambang bencana dan musibah yang besar."
(Bahtera Penyelamat)

"Jalan yang begini sukar menempuhnya, dan tujuan yang begitu agung, di samping tugas yang begitu berat, tentu saja sukar untuk dipikul oleh petugas yang lemah imannya. Yang sanggup mengerjakan tugas itu hanyalah para du'at yang telah mewaqafkan hidupnya untuk berjuang menegakkan agama Allah, mereka yang sudah tidak ada yang lebih dicintainya selain Allah dan Rasul-Nya. Mereka bersedia melepaskan dirinya dari kesenangan hidup dunia dan segala keinginannya. Mereka tidak mahu mengarahkan kegiatannya untuk meni’mati godaan dunia ini, dengan segala ragamnya..!"
(Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam)

"Semoga ruhmu ditempatkan bersama ruh-ruh para mujahiddin dan duat yang ikhlas dalam beramal! Dan agar Allah redha padamu dan kau pun redha dengan-Nya!"

BaytulFareed

Wednesday, June 10, 2009

Merekalah Manusia-manusia Terhebat (Bhgn Akhir)!


Sambungan daripada bahagian pertama...

5. Thalhah bin Ubaidillah, sahabat yang pada perang Uhud terkena lebih daripada 70 tikaman dan panah serta jari tangannya putus. Namun, Thalhah yang bertubuh kekar serta sangat kuat inilah yang melindungi Rasulullah disaat-saat genting tersebut. Beliau memapah Rasulullah yang tercedera menaiki bukit Uhud yang berada di hujung medan pertempuran ketika kaum musyrikin pergi meninggalkan medan peperangan kerana mengira Rasulullah telah wafat.

Saat itu Thalhah berkata kepada Rasulullah, "Aku tebus engkau ya Rasulullah dengan ayah dan ibuku.” Nabi tersenyum seraya bersabda, ”Engkau adalah Thalhah kebajikan.”

Sejak itu beliau mendapat julukan Burung Helang dari Uhud.

Rasulullah pernah berkata kepada para sahabatnya, "Orang ini (Thalhah) termasuk yang gugur (di medan Uhud) dan barang siapa yang ingin melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi maka lihatlah Thalhah.”

6. Az Zubair bin Awwam, beliau adalah sahabat karib Thalhah. Beliau memeluk Islam pada usia lima belas tahun dan berhjrah pada usia lapan belas tahun. Beliau telah menerima Islam dengan seksaan daripada bapa saudaranya sendiri semasa awal dakwah di Mekah.

Kepahlawanan Az Zubair bin Awwam terserlah dalam Perang Badar saat beliau berhadapan dengan Ubaidah bin Said bin Ash. Az Zubair berhasil menombak kedua mata musuhnya sehingga akhirnya tersungkur tak bergerak lagi. Hal ini membuat pasukan Quraisy ketakutan.

Rasulullah sangat mencintai Az Zubair. Baginda pernah bersabda;

"Setiap nabi memiliki pendamping yang setia (hawari), dan hawariku adalah Az Zubair bin Awwam.”

Az Zubair adalah suami Asma’ binti Abu Bakar yang menghantarkan makanan pada baginda sewaktu Nabi berhijrah bersama ayahnya.

Pada masa pemerintahan Umar, umat Islam berperang menghadapi tentara Rom di Mesir. Generalnya, Amr bin Ash meminta bala tentera bantuan daripada Amirul Mu’minin, lalu Umar mengirimkan 4000 perajurit yang dipimpin oleh 4 orang komander, dan beliau menulis surat berisi;

"Aku mengirim empat ribu perajurit bala bantuan yang dipimpin empat orang sahabat terkemuka dan masing-masing bernilai seribu orang.”

Mereka adalah Ubadah bin As Shomit, Al Miqdaad ibnul Aswad, Maslamah bin Mukhalid, dan Az Zubair bin Awwam. Demikianlah dengan izin Allah, pasukan kaum muslimin berhasil meraih kemenangan.

7. Abdul Rahman bin Auf, merupakan seorang usahawan dan pedagang yang berjaya di Mekah. Namun, ketika berhijrah ke Madinah beliau meninggalkan kesemua harta yang telah diusahakannya sekian lama.

Bakat keusahawanannya membolehkannya kembali menguasai pedagangan di Madinah. Dalam masa yang singkat berjaya menjadi kaya raya serta mampu menguasai Pasar Ukaz yang sebelumnya dikuasai pedagang yahudi.

Sebelum beliau meninggal dunia, beliau mewasiatkan agar setiap peserta perang Badar yang masih hidup mendapat 400 dinar. Sahabat yang menyertai Perang Badar dan masih hidup ketika itu jumlahnya sekitar seratus orang termasuk Uthman dan Ali RA.

Beliau juga berwasiat agar sebahagian daripada hartanya diberikan kepada kesemua isteri Rasulullah SAW sehingga Aisyah RA berdoa; "Semoga Allah memberi minum kepadanya daripada mata air Salsabila di syurga.”

8. Saad bin Abi Waqas, datuknya adalah bapa saudara kepada Aminah, ibu Nabi SAW. Beliau memeluk Islam dalam usia 17 tahun atas usaha Abu Bakar As Sidiq. Keislaman telah mendapat tentangan yang hebat daripada ibunya sendiri, namun beliau tetap bersabar di atas ancaman ibunya.

Keistimewaan yang ada pada Saad adalah kemahirannya memanah. Pada perang Uhud, beliau menjadi orang pertama melepaskan panah fi sabilillah di samping orang pertama terkena panah fi sabilillah.

Rasulullah sendiri bersabda, ” Panahlah hai Saad, ibu bapaku menjadi jaminan..”

Berkata Ali RA; "Tidak pernah aku dengar Rasulullah menjadikan ibubapanya sebagai jaminan kecuali bagi Saad.”

Saad merupakan seorang satria berkuda yang mempunyai dua jenis senjata, pertama panahnya dan kedua doannya yang makbul. Ini kesan doa Rasulullah SAW khusus padanya; ”Ya Allah, tepatkanlah bidikan panahnya dan kabulkanlah doanya...”

9. Said bin Zaid, suami kepada Fatimah Al Khattab dan adik ipar kepada Umar Al Khattab. Beliau Islam sejak kecil dan dididik oleh ayahnya dengan baik. Beliau bersama Thalhah bin Ubaidillah RA pernah diperintahkan untuk menjadi spy Rasulullah menyelidiki gerakan kaum musyrikin Quraisy.

Said adalah seorang sahabat yang dermawan dan murah hati. Ramai orang yang lemah dan tidak berdaya berkumpul di rumahnya untuk memperoleh ketenteraman, keamanan serta menghilangkan lapar dahaga. Beliau meninggal dunia di Baqi’ ketika berusia 70 tahun.

10. Abu Ubaidah Bin Jarrah, merupakan di antara sahabat yang mula-mula memeluk Islam di mekah atas usaha Abu Bakar. Antara sahabat yang berpeluang mendapat tarbiyah Nabi di rumah Arqam Abi Arqam.

Pernah ikut berhijrah ke Habsyah kali kedua tetapi kembali agar dapat berdampingan dengan Rasulullah. Ikut dalam Perang Badar, perang Uhud dan lain-lainya. Di Badar, beliau terpaksa membunuh bapanya sendiri yang masih kafir sehingga Allah menurunkan ayat ke 22 Surah Al Mujadalah mengenai tindakannya itu.

"Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah rida terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat) Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung.”

Dalam perang Uhud, beliaulah yang mencabut besi tajam yang menusuk kedua rahang Rasulullah dengan giginya sehingga beliau sendiri kehilangan gigi.

Rasulullah sangat sayang pada Abu Ubaidah dan menggelarkannya kepercayaan umat. Baginda bersabda;
”Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan sesungguhnya kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrrah.”

Rujukan:-
1. Abdul Latif Ahmad ‘Aasyur, Sepuluh Orang dijamin ke Syurga
2. Khalid Muhammad Khalid, Rijal Haula Rasul

p/s:- rasanye artikel yang paling panjang pernah ditulis...Semoga Bermanfaat!

BaytulFareed

Tuesday, June 9, 2009

Merekalah Manusia-manusia Terhebat (Bhgn 1)!


Di negara kita, pangkat Tun merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada rakyat yang banyak menyumbangkan tenaga, usaha, ideal dan kerja ke arah membangunkan negara. Dengan pangkat ini, penerimanya akan mendapat layanan yang sangat istimewa dan sentiasa menjadi VIP dalam setiap majlis atau keraian.

Tindak tanduk mereka diperhatikan dan dicontohi, ibu bapa sering menjadikan mereka sebagai calon yang mesti dicontohi anak-anak. Pemimpin pula sentiasa menyebut-nyebut jasa dan sumbangan para Tun kepada rakayat jelata agar dapat diteladani semua. Merekalah idola setiap masyarakat.

Bagaimana pula dengan anak-anak muda kita? Siapa pula idola dan ikutan mereka? Semestinya para artis dan penyanyi yang mendapat anugerah-anugerah tertinggi dalam industri hiburan. Anugerah Bintang Paling Popular mungkin di antara anugerah yang menjadi penerimanya dikagumi dan digilai oleh remaja-remaja kita. Kehidupannya dibiografikan, cara pakaiannya dijadikan fesyen ikutan, cara cakap dan perilakunya pun turut ditiru.

Adakah Islam telah ketandusan orang-orang yang LAYAK dicontohi dan dikagumi? Siapakah sebenarnya orang-orang yang dijadikan contoh teladan di waktu zaman kegemilangan Islam dahulu? Di zaman Rasulullah dan para sahabat?

10 Sahabat yang dijamin Syurga;

Pangkat tertinggi yang pernah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya adalah Jaminan Masuk Syurga. Suatu pangkat yang tidak dapat diragui lagi merupakan anugerah tertinggi yang pernah diberi kepada manusia biasa selain para rasul dan nabi.

Kita boleh membayangkan bagaimana jika kita hidup di kala itu, dan berpeluang berjumpa dengan ahli-ahli syurga yang masih hidup. Kita dapat berjalan-jalan di pasar dan melihat bagaimana mereka berjual beli, kita dapat melihat bagaimana bakal ahli syurga bermuamalah, beribadah, berkata-kata, makan, minum, berjihad dan kehidupan mereka keseluruhannya. Subhanallah, selain daripada Rasulullah SAW, adakah kita akan mengambil idola yang lain selain mereka ini? Tentu sekali tidak...

Siapakah mereka?

Daripada Abu Dzar RA, bahawa Rasulullah SAW masuk ke rumah Aisyah RA dan bersabda;

“Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?”

Aisyah menjawab : “Tentu, ya Rasulullah.”

Lalu Nabi SAW bersabda, ”Ada sepuluh orang yang mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu : Ayahmu (Abu Bakar) masuk syurga dan kawannya adalah Ibrahim; Umar masuk syurga dan kawannya Nuh; Uthman masuk syurga dan kawannya adalah aku; Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakariya; Thalhah masuk surga dan kawannya adalah Daud; Az Zubair masuk syurga dan kawannya adalah Ismail; Sa’ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman; Said bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran; Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam; Abu Ubaidah bin Jarrah masuk syurga dan kawannya adalah Idris Alaihissalam.”

Ini merupakan kisah hidup ringkas kesepuluh manusia terhebat itu:-

1. Abu Bakar bin Abi Quhafah (As Siddiq), adalah seorang Quraisy dari kabilah yang sama dengan Rasulullah, hanya berbeza keluarga. Abu Bakar berasal dari keluarga Tamimi, manakala Rasulullah berasal dari keluarga Hasyimi.

Abu Bakar adalah seorang pedagang yang selalu menjaga kehormatan diri. Beliau seorang yang kaya, pengaruhnya besar serta memiliki akhlak yang mulia. Sebelum datangnya Islam, beliau adalah sahabat Rasulullah yang memiliki ciri-ciri yang mirip dengan Rasulullah.

Belum pernah ada orang yang menyaksikan Abu Bakar minum arak ataupun menyembah berhala. Dia tidak pernah berdusta. Begitu banyak kemiripan antara beliau dengan Rasulullah sehingga tidak hairan kemudian beliau menjadi khalifah pertama setelah Rasulullah wafat. Rasulullah selalu mengutamakan Abu Bakar berbanding para sahabatnya yang lain sehingga nampak menonjol di tengah tengah orang lain. Sabda baginda;

“Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat nescaya akan lebih berat keimanan Abu Bakar. ” (HR. Al Baihaqi)

Al Quran juga banyak mengisyaratkan sikap dan tindakannya seperti dalam firman Allah pada surah Al -Lail ayat 5-7 dan 17-21, Fussilat ayat 30 serta At Taubah ayat 40.

Dalam masa yang singkat sebagai Khalifah, Abu Bakar telah banyak memperbarui kehidupan kaum muslimin, memerangi nabi palsu, dan kaum muslimin yang tidak mahu membayar zakat. Pada masa pemerintahannya juga penulisan Al Quran dalam lembaran-lembaran dimulai.

2. Umar Ibnul Khattab, berasal dari kabilah yang sama dengan Rasulullah SAW dan malah berkongsi moyang yang sama iaitu Ka’ab bin Luai. Umar masuk Islam setelah bertemu dengan adiknya Fatimah dan suami adiknya Said bin Zaid pada tahun ke-6 kenabian. Sebelum Umar, telah ada 39 orang lelaki dan 26 wanita yang memeluk Islam. Pada kaumnya, Umar dikenal sebagai seorang yang pandai berdiskusi, berdialog, memecahkan permasalahan serta berpenampilan kasar.

Setelah Umar masuk Islam, dakwah kemudiannya dilakukan secara terang-terangan, begitupun di saat hijrah, Umar merupakan di antara segelintir sahabat yang berhijrah secara terang-terangan. Beliau sengaja berangkat pada siang hari dan melewati gerombolan Quraisy. Ketika melewati mereka, Umar berkata;

"Aku akan meninggalkan Mekah dan menuju Madinah. Siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!”

Mendengar perkataan Umar tidak seorangpun yang berani mengekori apalagi menghalangnya.

Banyak pendapat Umar yang dibenarkan oleh Allah dengan menurunkan firman-Nya seperti saat peristiwa kematian Abdullah bin Ubay (At Taubah 9:84), ataupun saat penentuan perlakuan terhadap tawanan saat perang Badar, pendapat Umar dibenarkan Allah dengan turunnya ayat 67 surat Al Anfal.

Sebagai khalifah, Umar adalah seorang yang sangat memperhatikan kesejahteraan umatnya, hinggakan setiap malam ia berkeliling rumah rakyatnya khuatir jika masih ada yang belum terpenuhi keperluan mereka. Kekuasaan Islam pun semakin meluas keluar jazirah Arab di masa kekhalifahan beliau.

3. Uthman bin Affan. Sebuah Hadith yang menggambarkan peribadi Uthman, di mana Rasulullah SAW bersabda;

“Orang yang paling kasih sayang di antara umatku adalah Abu Bakar, dan paling teguh dalam menjaga ajaran Allah adalah Umar, dan yang paling bersifat pemalu adalah Uthman.” (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim, At Tirmidzi)

Uthman adalah seorang yang sangat dermawan, dalam persiapan pasukan Muslimin pada perang Tabuk, Uthman yang menginfaqkan ratusan ekor unta. Setelah kaum muslimin hijrah, saat kesulitan air, Uthmanlah yang membeli perigi daripada seorang Yahudi untuk kepentingan kaum muslimin. Serta banyak lagi kemurahan dan kedermawan beliau yang tidak sempat dimasukkan dalam artikel ini.

Pada masa kepemimpinannya Uthman merintis penulisan Al Quran dalam bentuk mushaf, daripada lembaran-lembaran yang mulai ditulis pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar

4. Ali bin Abi Thalib, sepupu Rasulullah SAW yang juga merupakan pemuda pertama memeluk Islam. Beliau tinggal bersama-sama baginda dan menerima asuhan oleh manusia yang paling agung ini sejak kecil lagi.

Berkeperibadian mulia dan memiliki kecerdasan dan keilmuan yang tinggi. Di samping bersikap berani seperti yang ditunjukkannya ketika menggantikan tempat tidur Rasulullah ketika baginda berhijrah bersama Abu Bakar. Ali juga yang dinikahkan oleh Rasulullah dengan puteri kesayangannya Fatimah. Kedua-dua suami isteri ini hidup dengan begitu sederhana dan tidak mempergunakan jawatan Rasulullah sebagai ketua negara Madinah untuk hidup mewah.

Beliau dilantik menjadi Khalifah Islam ke-4 setelah kematian Uthman bin Affan.

Bagaimana kisah hidup manusia-manusia terhebat yang lainnya? Ikuti bahagian kedua di entri seterusnya...

BaytulFareed
Related Posts with Thumbnails