About Me

My photo
Gombak, Malaysia
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali." (Hud 11:88)

Friday, October 9, 2009

Tarbiyah dari Allah itulah yang TERBAIK!

Al-Quran pernah menceritakan tentang Isteri Imran yang telah bernazar untuk menyerahkan anaknya yang bakal dilahirkan untuk berkhidmat di Baitul Maqdis.

Setelah itu lahirlah Maryam a.s, seorang anak perempuan yang suci dan mulia. Lalu Allah menerimanya sebagai hamba-Nya dan menTARBIYAHnya sesuai sebagai bakal ibu kepada seorang lagi Utusan Pembawa Risalah yang Mulia iaitu Isa a.s.

"Maka Tuhannya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakaria pemeliharanya..." (Ali Imran 3:37)

Ibnu Katsir berkomentar di dalam tafsirnya:

Allah menjadikan Nabi Zakaria a.s sebagai penjaga Maryam adalah untuk kebaikannya (Maryam). Iaitu agar dia dapat belajar dari baginda a.s yang begitu luas Ilmu dan mulia akhlaknya. Malah baginda merupakan suami kepada Ibu Saudara sebelah ibunya sendiri.

Poin 1:

Tatkala Isteri Imran menyerahkan anaknya kepada Allah SWT, Allah telah menerimanya dan menTARBIYAHnya dengan TARBIYAH yang BAIK. Di samping itu, sentuhan-sentuhan Tarbiyah MANUSIAWI anak itu pula ditugaskan kepada MURABBI yang juga seorang MANUSIA iaitu Nabi Zakaria a.s.

Hakikat Tarbiyah

Imam Baidhawi ketika membahaskan pengertian Tarbiyah, mengatakan bahawa di dalam kalimah ar-rabb (tuhan) sendiri terdapatnya unsur-unsur Tarbiyah iaitu:

"Menyampaikan sesuatu hingga mencapai kesempurnaan secara bertahap."

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

"Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-'Alaq 96:3-5)

Poin 2:

Tarbiyah Islamiyah itu salah satu ciri-cirinya adalah RABBANIYAH. Iaitu Tarbiyah yang dinisbahkan Allah SWT. Secara istilahnya bermaksud "proses berterusan dalam usaha membentuk tingkahlaku di dalam diri Mutrabbi sejajar dengan kehendak Allah berpandukan Manhaj Tarbiyah Ilahiyah."

Sedarkah kita akan Tarbiyah-Nya?


Ikhwah wa Akhawati Fillah;

Sepanjang kehidupan di dunia ini, kita semua pasti telah menempuh berbagai peristiwa yang menentukan arah tuju hidup kita sekarang ini.

Adakalanya peristiwa-peristiwa itu sangat menyeronokkan dan kita sentiasa merasai kegembiraannya sehingga ke hari ini. Namun, tidak kurang juga peristiwa-peristiwa bersejarah itu datang dalam bentuk yang penuh cabaran, ujian atau musibah.

Sebagai seorang Muslim yang beriman dan menyakini qadha dan qadar Allah SWT, kita sepatutnya menempuh peristiwa di dalam kehidupan di dunia ini dengan penuh keredhaan serta KESEDARAN bahawa setiap yang berlaku itu akan sentiasa ada NILAI TARBAWI yang ingin disampaikan oleh-Nya.

Nilai-nilai Tarbawi ini biasanya disampaikan melalui pemahaman kita terhadap hikmah-hikmah yang terbit daripada setiap peristiwa yang berlaku. Dan hikmah-hikmah ini hanya akan dapat difahami oleh mereka-mereka yang diberikan-Nya kefahaman.

"Allah menganugerahkan hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah itu, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran."
(Al-Baqarah 2:269)


Hikmah Tarbawiyah di dalam Dakwah dan Tarbiyah

Dalam kita merancang gerkerja dakwah, tidak sedikit isu-isu yang timbul dan kadang-kadang dilihat seperti akan merencatkan perjalanan dakwah ini.

Ikhwah wa Akhawati Fillah;

Bersama Kafilah Dakwah yang panjang ini, sedarlah bahawa terdapat banyak sekali 'rambu-rambu' yang menjadi petunjuk di sepanjang jalan. Ini kerana, Allah SWT pasti akan sentiasa mengawasi, menjaga dan menunjuki jalan terang kepada para du'at-Nya yang berusaha melaksanakan 'Iqamah ad-din di dunia ini.

Masalah Kuantiti

Selepas AJK bertungkus-lumus merancang dan melaksanakan suatu program, seringkali kekecewaan melanda tatkala melihat kehadiran peserta sangat sedikit, tidak seperti yang sepatutnya. Semangat untuk meneruskan program kian mengendur dan peserta yang datang dilupakan hak-hak mereka.

Ingatlah wahai para du'at akan firman Allah SWT:

"...Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Al-Baqarah 2:249)

Sirah membuktikan bagaimana 'orang-orang sedikit' tapi ikhlas dan beriman ini sentiasa meraih pencapaian dan kejayaan. Biarlah sedikit, tapi kualiti kesabaran dan kesungguhan mereka itu yang menjadi aset terbaik!

"...Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti."
(Al-Anfal 8:65)

Ada beberapa Nilai Tarbawi yang dapat diambil:

1. Allah SWT ingin mendidik para du'at bahawa hidayah adalah milik-Nya dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

2. Allah SWT ingin mendidik para du'at agar menguatkan keyakinan kepada Kekuatan-Nya semata-mata dan tidak bergantung harap pada banyaknya kuantiti.

3. Allah SWT ingin mendidik para du'at akan nilai keikhlasan yang tulus dalam melaksanakan tarbiyah dengan bersungguh-sungguh memberikan hak-hak peserta walaupun mereka tidak ramai.

4. Allah SWT ingin mendidik para du'at untuk lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan dakwah tarbiyah supaya mad'u tertarik untuk hadir lalu menerimanya.

5. Allah SWT ingin mendidik para du'at sentiasa bermesyuarat (syura) dan mempertimbangkan segala aspek yang membantu mempertingkatkan atau mengurangkan kehadiran.

6. Allah SWT ingin mendidik para du'at bahawa setelah usaha yang maksima, hendaklah bertawakal sambil berdoa kepada Allah agar dibukakan hati para mad'u untuk hadir.

Kesimpulannya, sesuatu isu yang timbul itu perlulah dikaitkan dengan ketentuan dari Allah dan biasakanlah diri untuk mencari mutiara-mutiara hikmah di sebaliknya. Hindari putus asa, sebaliknya pandanglah sudut-sudut positif yang begitu banyak.

Juga, ingatlah bahawa ad-Din itu milik-Nya dan Dia-lah Yang Paling Layak untuk menentukan perjalanan manusia dalam menegakkannya. Cuma kita hendaklah sentiasa berdoa agar terus tsabat dan diperkenankan menjadi salah seorang penerus Risalah Dakwah ini.

Wallahu a'lam...

Rujukan:
1. Al-Quran Terjemahan
2. Tafsir Ibnu Katsir
3. Tarbiyah Rabbani, UAO
4. Islam Sebagai Penyelesaian, msm-net

Pagi Jumaat yang Damai,
Di kala titisan hujan menyirami bumi,

BaytulFareed

2 comments:

mas syarep said...

subhanallah!!
ana bce stiap penulisan nta ni..
seolah-olah terngiang-ngiang suara nta..
seolah-olah nta sendiri bg tazkiyah dan tazkirah pd ana secara live!!
penuh hidup lagi berjiwa penulisan nta ni..
teruskan memantop!!

Azraai Ahmad said...

to mas syarep:

Akhi, kita kan cuma jadi tempat keluar saluran 'tarbiyah'-Nya itu.

Semuanya kembali kepada Allah Taala.

Eh, bila nak buat Makmal Terbuka pulak? Ana menunggu2 jgk nak p... ^_^

Related Posts with Thumbnails