About Me

My photo
Gombak, Malaysia
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali." (Hud 11:88)

Wednesday, June 10, 2009

Merekalah Manusia-manusia Terhebat (Bhgn Akhir)!


Sambungan daripada bahagian pertama...

5. Thalhah bin Ubaidillah, sahabat yang pada perang Uhud terkena lebih daripada 70 tikaman dan panah serta jari tangannya putus. Namun, Thalhah yang bertubuh kekar serta sangat kuat inilah yang melindungi Rasulullah disaat-saat genting tersebut. Beliau memapah Rasulullah yang tercedera menaiki bukit Uhud yang berada di hujung medan pertempuran ketika kaum musyrikin pergi meninggalkan medan peperangan kerana mengira Rasulullah telah wafat.

Saat itu Thalhah berkata kepada Rasulullah, "Aku tebus engkau ya Rasulullah dengan ayah dan ibuku.” Nabi tersenyum seraya bersabda, ”Engkau adalah Thalhah kebajikan.”

Sejak itu beliau mendapat julukan Burung Helang dari Uhud.

Rasulullah pernah berkata kepada para sahabatnya, "Orang ini (Thalhah) termasuk yang gugur (di medan Uhud) dan barang siapa yang ingin melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi maka lihatlah Thalhah.”

6. Az Zubair bin Awwam, beliau adalah sahabat karib Thalhah. Beliau memeluk Islam pada usia lima belas tahun dan berhjrah pada usia lapan belas tahun. Beliau telah menerima Islam dengan seksaan daripada bapa saudaranya sendiri semasa awal dakwah di Mekah.

Kepahlawanan Az Zubair bin Awwam terserlah dalam Perang Badar saat beliau berhadapan dengan Ubaidah bin Said bin Ash. Az Zubair berhasil menombak kedua mata musuhnya sehingga akhirnya tersungkur tak bergerak lagi. Hal ini membuat pasukan Quraisy ketakutan.

Rasulullah sangat mencintai Az Zubair. Baginda pernah bersabda;

"Setiap nabi memiliki pendamping yang setia (hawari), dan hawariku adalah Az Zubair bin Awwam.”

Az Zubair adalah suami Asma’ binti Abu Bakar yang menghantarkan makanan pada baginda sewaktu Nabi berhijrah bersama ayahnya.

Pada masa pemerintahan Umar, umat Islam berperang menghadapi tentara Rom di Mesir. Generalnya, Amr bin Ash meminta bala tentera bantuan daripada Amirul Mu’minin, lalu Umar mengirimkan 4000 perajurit yang dipimpin oleh 4 orang komander, dan beliau menulis surat berisi;

"Aku mengirim empat ribu perajurit bala bantuan yang dipimpin empat orang sahabat terkemuka dan masing-masing bernilai seribu orang.”

Mereka adalah Ubadah bin As Shomit, Al Miqdaad ibnul Aswad, Maslamah bin Mukhalid, dan Az Zubair bin Awwam. Demikianlah dengan izin Allah, pasukan kaum muslimin berhasil meraih kemenangan.

7. Abdul Rahman bin Auf, merupakan seorang usahawan dan pedagang yang berjaya di Mekah. Namun, ketika berhijrah ke Madinah beliau meninggalkan kesemua harta yang telah diusahakannya sekian lama.

Bakat keusahawanannya membolehkannya kembali menguasai pedagangan di Madinah. Dalam masa yang singkat berjaya menjadi kaya raya serta mampu menguasai Pasar Ukaz yang sebelumnya dikuasai pedagang yahudi.

Sebelum beliau meninggal dunia, beliau mewasiatkan agar setiap peserta perang Badar yang masih hidup mendapat 400 dinar. Sahabat yang menyertai Perang Badar dan masih hidup ketika itu jumlahnya sekitar seratus orang termasuk Uthman dan Ali RA.

Beliau juga berwasiat agar sebahagian daripada hartanya diberikan kepada kesemua isteri Rasulullah SAW sehingga Aisyah RA berdoa; "Semoga Allah memberi minum kepadanya daripada mata air Salsabila di syurga.”

8. Saad bin Abi Waqas, datuknya adalah bapa saudara kepada Aminah, ibu Nabi SAW. Beliau memeluk Islam dalam usia 17 tahun atas usaha Abu Bakar As Sidiq. Keislaman telah mendapat tentangan yang hebat daripada ibunya sendiri, namun beliau tetap bersabar di atas ancaman ibunya.

Keistimewaan yang ada pada Saad adalah kemahirannya memanah. Pada perang Uhud, beliau menjadi orang pertama melepaskan panah fi sabilillah di samping orang pertama terkena panah fi sabilillah.

Rasulullah sendiri bersabda, ” Panahlah hai Saad, ibu bapaku menjadi jaminan..”

Berkata Ali RA; "Tidak pernah aku dengar Rasulullah menjadikan ibubapanya sebagai jaminan kecuali bagi Saad.”

Saad merupakan seorang satria berkuda yang mempunyai dua jenis senjata, pertama panahnya dan kedua doannya yang makbul. Ini kesan doa Rasulullah SAW khusus padanya; ”Ya Allah, tepatkanlah bidikan panahnya dan kabulkanlah doanya...”

9. Said bin Zaid, suami kepada Fatimah Al Khattab dan adik ipar kepada Umar Al Khattab. Beliau Islam sejak kecil dan dididik oleh ayahnya dengan baik. Beliau bersama Thalhah bin Ubaidillah RA pernah diperintahkan untuk menjadi spy Rasulullah menyelidiki gerakan kaum musyrikin Quraisy.

Said adalah seorang sahabat yang dermawan dan murah hati. Ramai orang yang lemah dan tidak berdaya berkumpul di rumahnya untuk memperoleh ketenteraman, keamanan serta menghilangkan lapar dahaga. Beliau meninggal dunia di Baqi’ ketika berusia 70 tahun.

10. Abu Ubaidah Bin Jarrah, merupakan di antara sahabat yang mula-mula memeluk Islam di mekah atas usaha Abu Bakar. Antara sahabat yang berpeluang mendapat tarbiyah Nabi di rumah Arqam Abi Arqam.

Pernah ikut berhijrah ke Habsyah kali kedua tetapi kembali agar dapat berdampingan dengan Rasulullah. Ikut dalam Perang Badar, perang Uhud dan lain-lainya. Di Badar, beliau terpaksa membunuh bapanya sendiri yang masih kafir sehingga Allah menurunkan ayat ke 22 Surah Al Mujadalah mengenai tindakannya itu.

"Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah rida terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat) Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung.”

Dalam perang Uhud, beliaulah yang mencabut besi tajam yang menusuk kedua rahang Rasulullah dengan giginya sehingga beliau sendiri kehilangan gigi.

Rasulullah sangat sayang pada Abu Ubaidah dan menggelarkannya kepercayaan umat. Baginda bersabda;
”Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan sesungguhnya kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrrah.”

Rujukan:-
1. Abdul Latif Ahmad ‘Aasyur, Sepuluh Orang dijamin ke Syurga
2. Khalid Muhammad Khalid, Rijal Haula Rasul

p/s:- rasanye artikel yang paling panjang pernah ditulis...Semoga Bermanfaat!

BaytulFareed

No comments:

Related Posts with Thumbnails