About Me

My photo
Gombak, Malaysia
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali." (Hud 11:88)

Friday, August 7, 2009

Amacam Ramadhan kali ni? Bereh..!

"Aduh, rugi betul Ramadhan tahun lepas, tak sempat nak khatamkan 30 juz Al Quran sebab dekat-dekat raya banyak pula benda nak kena "settle"!"

"Sebenarnya, awal-awal lagi aku harapkan Ramadhan kali ni 'the best' tapi bila masuk saja bulan Ramadhan, banyak pula halangan dan kerja-kerja yang mendatang sampaikan "target" ibadah tak tercapai..."

"Waah, Ramadhan lepas aku untung besar! Bisnes di bulan ini betul-betul "booming"! Memang Ramadhan ni bulan yang berkah. Rezekipun melimpah ruah!"

Di atas merupakan antara cakap-cakap yang dapat kita dengar selepas berakhirnya bulan Ramadhan. Ada yang kecewa dan ada pula yang berjaya. Kekecewaan dan kejayaan mereka ini sudah tentu bergantung pula bagaimana mereka mengukur keberhasilan mereka di bulan yang mulia ini.

Sebenarnya, ramai orang yang menyangka mereka benar-benar berpuasa dan berjaya dengan sesungguhnya di bulan Ramadhan, tetapi Rasulullah SAW pernah bersabda;

"Betapa ramai orang yang berpuasa, namun dia tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga..." (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, sempena kedatangan Ramadhan yang semakin dekat ini, mari kita lihat apakah penanda aras kejayaan atau kegagalan seseorang dalam Bulan Ramadhan.

Poin-poin di bawah ini diambil dan diolah daripada buku "Manajemen Ramadhan: Menuju Ramadhan Terindah" karya Ustaz Solikhin Abu 'Izzudin.

1. Warm Up:

Memperbanyakkan ibadah sunah di bulan Sya'ban berfungsi sebagai warm up bagi rohani, jasad dan mental kita. Berpuasa sunat, memperbanyakkan tilawah Quran, solat malam dll akan menyediakan satu suasana yang kondusif bagi hati dan diri seseorang untuk menunaikan ibadah di bulan Ramadhan. Warm up ini sangat penting bagi mengelakkan "keterkejutan" yang dapat mengganggu kelancaran ibadah kita.

2. Target:

Sesorang yang bersungguh-sungguh untuk meraih ganjaran yang dijanjikan di bulan Ramadhan, nescaya dia akan membuat sasaran-sasaran yang ingin dicapai. Tilawah Al-Quran, Hafazan, Infaq/Sedekah, Membaca Buku Islami, Qiam, Iktikaf dan ibadah sunah yang lain perlulah ditentukan sasarannya. Dengan sasaran yang jelas, kita dapat membayangkan bagaimana Ramadhan yang kita ingini dan seterusnya berusaha untuk mencapainya. Sasaran ini boleh dilakukan secara individual ataupun kolektif.

3. Panca Indera:

Puasa juga bererti manahan semua panca indera daripada perkara-perakra yang diharamkan. Seseorang tidak dapat dikatakan berpuasa dengan sesungguhnya apabila kata-katanya penuh dengan umpatan, fitnah, caci maki, lucah dan lain-lain. Juga matanya, tidak terhindar daripada meng"usha" perempuan/lelaki dengan nafsu, dan perkara-perkara yang diharamkan.

4. Malamnya:

Suatu ciri khas dalam bulan Ramadhan ialah umat Islam diajarkan Rasulullah SAW untuk menghidupkan malam dengan solat sunat Tarawikh, Qiamullail, Tilawah Al Quran, Berzikir dan berdoa. Jika malam kita di bulan "Karnival Ibadah" ini sama sahaja seperti malam-malam di bulan yang lain, dipenuhi dengan menonton tv, bermain game, berborak kosong, dan membuang masa, sudah tentu tiada lagi keistimewaan Ramadhan yang tinggal!

5. Saat Iftar (Berbuka puasa):

Seringkali saat ini dijadikan upacara "membalas dendam". Kelaparan yang tertahan sejak siang harinya dilunasi dengan melahap dan "mengketedarah" semahu-mahunya. Anatara hikmah puasa seperti mengajar sikap berjimat, musnah begitu sahaja apabila banyak wang dihabiskan untuk membeli juadah berbuka demi memuaskan nafsu lapar.

6. Infaq dan Sedekah:

Rasulullah SAW adalah peribadi yang sangat pemurah. Tatkala Ramadhan tiba, ke"pemurah"an baginda bahkan semakin bertambah. Di bulan Ramadhan, amal kebaikan digandakan berlipat kali ganda. Mungkin puluhan, ratusan atau ribuan kali ganda daripada bulan biasa. Momentum ini sangat besar nilainya, dan sudah tentu bagi yang memahami, tidak akan mempersia-siakannya!

7. Menjelang Hari Raya:

Sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan kemuncak Karnival Ramadhan. Di malam-malamnya disunatkan iktikaf di masjid-masjid. Perindu-perindu Allah SWT akan berusaha bersungguh-sungguhnya di malam-malam nya bagi mendapatkan kurnia terbesar di bulan Ramadhan iaitu Lailatulqadar. Suatu malam yang nilainya melebihi seribu bulan. Namun, seringkali fokus utama umat Islam diubah. Bagi 10 hari Ramadhan ini disibukkan dengan persiapan menyambut Aidilfitri. Mengecat rumah, membeli perabot baru, menukar langsir baru, membuat kuih muih dan lain-lain...

8. Saat Lebaran:

Majlis Penutup Karnival Ibadah ini sepatutnya dirayakan dengan penuh kesyukuran, ukhuwah, dan saling mengucapkan selamat. Kita diajarkan Rasulullah SAW untuk berziarah ke rumah saudara-mara, sahabat handai dan mengeratkan silaturrahim. Tetapi, ramai juga di kalangan kita yang "melepas geram" dengan membuat perkara-perkara yang hampir-hampir berlawanan dengan objektif Karnival Ramadhan iaitu melatih TAQWA.

9. Selepas Ramadhan:

Di bulan Syawal, kita disunatkan berpuasa 6 hari daripadanya. Juga, diharapkan 30 hari berpuasa dan beribadah akan menerbitkan kebiasaan yang baik. Masjid-masjid dan musolla diharapkan penuh dengan graduan-graduan madrasah Ramadhan. Namun, biasanya sebaliknya yang terjadi. Masjid dan musola menjadi lengang, dan umat Islam kembali kepada "Fitrah" mereka seperti bulan-bulan sebelumnya...

Begitulah secara umumnya 9 perkara yang perlu diperhatikan oleh kita dalam menentukan "keberhasilan" kita dalam meraih pahala di bulan Ramadhan Al Mubarak yang akan menemui kita tidak lama lagi. Jadi, diharapkan kita semua dapat mengambil manfaat bersama-sama...

p/s:- sebenarnya diambil dari blog lama saya "Mencari Makna Kehidupan Abadi" dengan sedikit pembaharuan...

BaytulFareed

No comments:

Related Posts with Thumbnails