About Me

My photo
Gombak, Malaysia
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali." (Hud 11:88)

Friday, February 26, 2010

Edisi 12 Rabiul Awwal: Hidayah Rasulullah SAW

'Doube Click' gambar untuk besarkan

Di makmal sekolah, para pelajar kelihatan tercengang-cengang. Masing-masing blur dan tidak pasti apakah yang hendak dibuat. Mereka baru pertama kali masuk ke dalam makmal, tiba-tiba diarahkan untuk mengendalikan sebuah eksperimen. Mereka dibekalkan dengan Panduan Modul Ekperimen yang lengkap, tapi masalahnya satu patah perkataanpun dalamnya tidak dapat difahami. Yang mana satu volumetric tank, 'V’ Weir Notch, overflow pipe? dan apa itu Bernoulli’s equation, frictional head loss dan ntah ape-ape lagi.


Tidak lama kemudian, masuklah guru yang mengajar subjek tersebut. Dia meminta maaf kerana lambat lalu memulakan pelajaran. Dia menerangkan setiap radas yang akan digunakan; nama, fungsi, serta cara menggunakannya. Dia turut melakukan demonstrasi eksperimen di depan pelajar supaya mereka lebih faham. Pelajar dibenarkan untuk bertanya jika terdapat sebarang kekaburan atau masalah. Guru tersebut juga menerangkan larangan-larangan yang perlu dipatuhi sepanjang eksperimen berjalan supaya tidak berlaku sebarang kemalangan.

Anologi di atas sebenarnya untuk menunjukkan betapa perlunya manusia kepada RASUL. Dalam melaksanakan tanggungjawab ibadah dan khalifah di bumi, manusia perlukan seseorang yang dapat memberikan garis panduan, menjelaskan kekaburan, menjadi teladan serta memperingatkan mereka perintah dan larangan Allah SWT. Dan insan tersebutlah digelar AR RASUL.

Manusia itu lahir dalam keadaan fitrah:-

Di pelusuk dunia mana sekalipunpun, setiap manusia itu diciptakan oleh Allah SWT dengan fitrah. Secara fitrahnya manusia itu bersih, suci dan mempunyai kecenderungan yang baik dan ke arah positif iaitu ke arah Islam.

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Ar Rum 30:30)

Fitrah adalah sesuatu yang hendak atau tidak manusia terpaksa untuk menerimanya. Sekalipun terdapat manusia yang mengengkari fitrah tersebut, namun jauh di sudut hatinya mengakui fitrah tersebut.

"Dan mereka mengengkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran) nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.” (An Naml 27:14)

Fitrah yang ada pada manusia dapat menilai baik buruk tingkah laku masyarakat ataupun dirinya.Ini disebabkan kerana fitrah dimiliki oleh manusia semenjak ia lahir, samada dilahirkan oleh ibu bapa kafir ataupun jahiliyah. Fitrah manusia di antaranya adalah mengakui kewujudan Allah sebagai pencipta, keinginan untuk beribadah dan menghendaki kehidupan yang teratur.

Adanya Pencipta (baca:Allah):-

Perkataan Allah, Tuhan, God, Bhagwan, Eli, Jehovah, Elah, Thian, Brahma dan macam-macam lagi bahasa dunia ini semuanya merujuk kepada suatu Zat Yang Maha Kuasa, Pencipta segala-galanya, Pengatur alam jagat dan Maha Agung. Secara logiknya, jika tidak kerana fitrah manusia yang memerlukan Pencipta, bagaimanakah perkataan ini wujud dan tersebar ke seluruh dunia?

Di kala seseorang itu dilambung ombak ganas di tengah lautan, di tengah kebakaran api yang marak, di dalam kapal terbang yang menjunam disebabkan kerosakan teknikal, nescaya seseorang yang atheis sekalipun akan menjeritkan kalimah Tuhan (Allah).

Katakanlah: "Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak ingat?" Katakanlah: "Siapakah Yang Empunya langit yang tujuh dan Yang Empunya 'Arsy yang besar?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak bertakwa?" Katakanlah: "Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab) -Nya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?"
(Al Mukminun 23:84-89)

Ibadah pada Pencipta:-

Fitrah yang kedua ialah manusia ditakdirkan untuk beribadah dan mengabdi kepada Penciptanya (Allah). Jika dilihat kaum selain umat Islam sekalipun mempunyai cara ibadah masing-masing. Malah ada yang sanggup mendera dan menyakiti diri hanyalah kerana keinginan untuk beribadah kepada Tuhan yang diyakininya.

"Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.” (Al Baqarah 2:21)

Hidup yang Teratur:-

Manusia secara fitrahnya juga inginkan satu sistem yang mengatur hidupnya. Mereka akan cuba membuat sebarang aturan, pelembagaan dan sistem untuk memastikan kehidupan mereka teratur, tersusun dan lancar. Fitrah ini bukan sahaja dimiliki manusia moden yang tinggal di bandar besar yang sofistikated, malah orang-orang asli di dalam hutan juga mempunyai sistem aturan mereka sendiri.

Manusia dengan fitrahnya yang bersih dan suci percaya bahawa tanpa sistem yang teratur, hidup mereka kacau bilau serta porak peranda.

Petunjuk Rasul:-

Memang manusia lahir dengan fitrahnya seperti di atas. Cuma, siapakah yang dapat menjamin Tuhan yang mereka yakini itu hanya Allah SWT semata-mata dan tidak mempersekutu-Nya dengan yang lain? Siapa dapat menjamin bahawa ibadah mereka kepada Tuhan (Allah) adalah seperti yang dikehendaki dan diarahkan-Nya? Dan siapa yang dapat menyatakan bahawa mereka telah mengikut aturan hidup yang telah Tuhan (Allah) tetapkan?

Di kala manusia tenggelam dalam kesyirikan kepada Allah, ibadah dicampur adukkan dengan kederhakaan, sistem yang memporak perandakan kehidupan, ketika itu diutuskan seorang Penyelamat (Rasul) untuk menyalakan obor yang menerangi kegelapan, menghapus kekaburan, dan menunjukkan jalan kebenaran.

Katakanlah: "Hai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul Nya, Nabi yang umi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk". (Al A’raf 7:158)

Pertama sekali, Rasul memperkenalkan Allah SWT dengan membawa dalil-dalil kewujudan dan kekuasaan-Nya.

"Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.” (Luqman 31:10)

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali Imran 3:190-191)

Kedua, Rasul menunjukkan contoh teladan (demonstrasi) yang baik sepertimana yang dikehendaki Allah SWT.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al Ahzab 33:21)

Peribadi Rasul itu sendiri adalah suatu peribadi manusia yang dikhususkan oleh Allah SWT untuk dicontohi oleh manusia sekiannya. Melalui Rasul, manusia akan melihat bagaimana Dienullah itu dizahirkan dan direalisasikan. Rasul mendemontrasikan segala perintah Allah di dalam Al Quran. Baginda telah mencontohkan bagaimanakah sepatutnya seorang hamba dengan Tuhannya, cara hidup yang diinginkan Allah, akhlak sesama makhluk, dan peribadi yang dinamakan MUSLIM. Ringkasnya, Rasul telah menjelmakan Cara Hidup yang telah dijelaskan dalam Al Quran yang mulia.

Ibadah yang Benar:-

Dengan perantaraan Rasul, manusia akan menemukan Ibadah yang sebenarnya. Ibadah seorang manusia sepatutnya hanyalah kepada Allah SWT semata. Caranya pula, adalah sepertimana yang telah dicontohkan oleh Utusan-Nya yang mulia, iaitu Rasulullah SAW. Rasulullah, sebagai penerima wahyu dari Allah perlu diikuti dan semestinya kita menjadikannya sebagai model dan petunjuk dalam menjalankan ibadah yang benar kerana baginda diiktiraf oleh Allah SWT untuk mengembangkan dan menyebarkan nilai-nilai Islam secara sah dan tepat.

"Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah. Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan rasulpun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (An Nisa’ 4:64)

Wallahu a'lam...

Pagi Jumaat yang hujan..
BaytulFareed

2 comments:

Anonymous said...

Perkongsian yang sangat menarik...
"Hiduplah di atas muka bumi ini berteraskan petunjuk-Nya dan sunnah Rasul s.a.w. InsyaAllah bahagia hidupmu di dunia dan akhirat..."

Azraai Ahmad said...

setuju! thanx

Related Posts with Thumbnails