About Me

My photo
Gombak, Malaysia
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali." (Hud 11:88)

Monday, June 27, 2011

Tips Meningkatkan Reputasi dan Populariti


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah SWT, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Persaingan dan Penilaian.

Firman Allah SWT:

"(Dia-lah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (Al-Mulk 67: 2)

Hidup kita di dunia ini penuh dengan persaingan dan penilaian. 

Para pelajar bersaing untuk mendapatkan penilaian terbaik dalam peperiksaan. Para pekerja bersaing untuk dinilai sebagai seorang yang berdedikasi oleh majikannya.

Parti-parti politik bersaing di antara satu sama lain untuk dinilai sebagai layak memerintah kerajaan. Jejaka-jejaka bersaing bersungguh-sungguh agar dinilai paling hebat dan layak memiliki hati si gadis pujaan.  

Mengapa kita perlu bersaing? Jawapannya untuk menjadi yang terbaik di dalam sesuatu penilaian. 

Setelah itu apa? Ya, pastilah reputasi dan populariti kita meningkat!

Orang ramai mula menyebut-nyebut nama kita. Kita dipuji di depan orang ramai. Kita diberi ganjaran yang setimpal dan yang paling dikehendaki ialah kita mendapat apa yang diinginkan selama ini...

Reputasi dan Populariti.

Setiap daripada kita mempunyai reputasi dan populariti di kalangan manusia. 

Di kalangan kita ada yang terkenal sebagai pelajar yang pintar dan cerdas, pekerja yang cekap dan berkaliber, pemimpin yang hebat dan berjiwa rakyat, orang kaya yang berhati mulia, anak yang soleh dan berbakti kepada ibubapa, ulama yang berilmu, murabbi yang membina puluhan mutarabbi dan sebagainya. 

Kesan daripada populariti ini pelbagai. Jika tidak dikawal, demi mengundang reputasi dan populariti, kita akan terjerumus di dalam kancah keegoan, pentingkan diri sendiri dan merasa dirinya hebat daripada orang lain.  

Syeikh Yusuf Al-Qaradawi di dalam bukunya Iman dan Kehidupan berpesan: 

"Egoisme adalah suatu yang amat besar pengaruhnya dan jarang manusia yang dapat terlepas daripadanya. Sifat inilah yang mendorong manusia berebut keuntungan dan kekayaan, sehingga menimbulkan pertentangan dan permusuhan, menuntut dan mengambil sesuatu yang bukan miliknya, mengingkari hak orang lain ke atas dirinya, memakan harta orang lain dengan cara yang batil serta mengambilnya dengan pelbagai jalan dan cara..."

Sikap sukakan populariti dan status ini bukan sahaja menjangkiti orang-orang yang tidak berilmu, malah para ulama, pendakwah dan ahli ibadah yang zuhud juga susah mengawalnya.

Berkata Imam Ibnu Syihab Az-Zuhri:

"Kami tidak melihat dalam hal tertentu yang lebih sedikit daripada zuhud dalam kedudukan. Kamu melihat seseorang berzuhud dalam masalah makanan, minuman dan harta. Namun, jika kamu membahagi-bahagikan kedudukan, tentu mereka akan berebut dan meminta lebih banyak lagi."

Reputasi dan Populariti yang Hakiki.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak ada seorang hamba melainkan dia mempunyai reputasi di langit. Apabila reputasinya di langit baik, ditetapkan untuknya reputasi yang baik di bumi. Apabila reputasinya di langit buruk, ditetapkan untuknya reputasi yang buruk di bumi." (HR Al-Bazzar)

Daripada hadis di atas, reputasi dan populariti yang hakiki di sisi Allah SWT ialah reputasi dan populariti di langit. Menyedari hal ini, sangat ironis bila mengenangkan kita terlalu bersungguh-sungguh untuk memenangi pengiktirafan makhluk dan melupakan pengiktirafan Allah SWT.

Kita terlalu menumpukan usaha membina kredibiliti di kalangan manusia, tapi melengahkan kredibiliti di hadapan penghuni langit. Sedangkan jika dibandingkan status di antara keduanya, pastilah pengiktirafan para penghuni langit itulah yang lebih-lebih lagi perlu diharapkan.

Rasulullah SAW bersabda:

Apabila Allah SWT mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril seraya berfirman: "Sesungguhnya Aku mencintai si polan, maka hendaklah kamu juga mencintainya." Jibril pun mencintainya lalu berseru kepada penduduk langit seraya berkata: "Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka hendaklah kamu semua juga mencintainya." Penduduk langit pun mencintainya, lalu ditetapkan untuknya kecintaan di muka bumi. (HR Muslim)

Meraih Reputasi dan Populariti di Langit.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama melihat beberapa amalan yang sepatutnya dilakukan untuk meraih keredhaan Allah SWT dan para penghuni langit.

1. Menyembunyikan ketaqwaan.

Pada suatu hari Saad RA sedang mengembala kambingnya. Beliau didatangi anaknya dan ditanya mengapa beliau mengambala kambing seperti badwi sedangkan orang-orang berlumba mendapatkan kekuasaan di Madinah.

Jawab Saad RA:

Diamlah! Kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seorang hamba yang bertaqwa dan menyembunyikan ketaqwaannya." (HR Muslim dan Ahmad)

2. Bekerja, berusaha dan beramal untuk Allah SWT.

Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan". (At-Taubah 9: 105)

3. Menjauhkan diri daripada simbol dan bentuk populariti.

Pada suatu hari Abdullah bin Mas'ud RA keluar dari rumah dan orang-orang mengikutinya. Beliau bertanya kepada mereka, "Apakah kamu semua ada keperluan?"

Mereka menjawab, "Tidak, kami hanya ingin berjalan mengiringimu." Beliau pun berkata, "Pulanglah! Kerana perbuatan ini hanya akan mengundang kehinaan bagi yang mengikuti dan fitnah bagi yang diikuti." Beliau berkata lagi, "Jika kamu tahu keadaanku sebagaimana aku mengetahuinya, nescaya kamu akan menaburkan debu di atas kepalaku!"

4. Bersikap Tawadhuk.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa merendahkan diri kerana Allah, maka Allah akan meninggikannya." (HR Abu Nu'aim)

5. Zuhud dengan kemahsyuran di dunia.

Ibrahim bin Adham rahimahullah berkata, "Tidak sehari pun aku berasa gembira di dunia kecuali hanya sekali. Pada suatu malam aku berada di dalam masjid salah sebuah desa di Syam, dan ketika itu aku sedang sakit perut. Lalu muazzin datang dan menyeret kakiku hingga keluar dari masjid."

Begitulah bagaimana sikap seorang ulama terkenal yang zuhud, beliau gembira jika ada seorang yang tidak mengenali dirinya dan melayannya seperti orang biasa.

Kesimpulan.

Marilah kita memohon kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan dan kemudahan dalam meraih reputasi dan populariti yang baik di sisi-Nya.  Juga berdoa agar kita digolongkan di dalam hamba-hamba yang ikhlas dalam beribadah dan mentaati Allah SWT hanya untuk keredhaan-Nya.

Sesungguhnya status yang hebat di dunia itu hanyalah bersifat sementara dan kadangkala menjadi bebanan yang sentiasa perlu dijaga. Sementara status yang baik di sisi Allah SWT itulah lebih kekal dan menjadi jaminan kita di akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

"Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl 16: 96)

Wallahu a'lam.

Pejabat IKRAM Gombak
Taman Seri Gombak

Rujukan:
1. Iman dan Kehidupan, Yusuf Al-Qaradawi
2. Bukti-bukti Penguat Ikhlas, Yusuf Al-Qaradawi
3. Syarah Lengkap Arba'in Da'wiyah, Fakhruddin Nursyam

4 comments:

Ibnu Samaon Al-Kuala Lumpury said...

Assalamualaikum ya akhi. Jazakallahu Khair atas coretan karya yang menusuk jiwaku..

benar akhi, jarang orang memikirkan apa pandangan penghuni di langit terhadapnya berbanding pandangan insan di muka bumi. semoga usahamu menjadikan dirimu dan orang lain lebih tinggi reputasinya di sisi Allah insyaAllah.

Auzaie said...

Ilham datang mencurah-curah bila beruzlah ye azra'i :)
syukran atas perkongsian,
penyakit ini susah utk di'detect',hanya antara hamba tu dgn Allah saja yg tahu.
Tolong saling mengingatkan ya,manusia mudah lupa :D jazakallah kk.

awdawd said...

trimakasih infonya gan....
...
sangat menarik dan bermanfaat...
mantap..

joi said...

infonya sangat menarik,,,

Related Posts with Thumbnails